Pementasan Teater Adaptasi Muzikal GAMAT yang berlangsung di Panggung Budaya, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 16 dan 17 Disember 2016 mendapat sambutan warga kampus dan masyarakat.
Menerusi persembahan itu seramai 15 pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Teater) yang dinilai membabitkan aspek pengurusan dan pemasaran iaitu Samantha Tan Pei Ying dan Nor Izwah Mohd Ariff, pengarahan (Nur Muhamad Shahir Ayob dan Saraniya Selvasingam), sinografi (Era Fazira Ibrahim, Jaidin Umin dan Muhammad Faiz Ab Rahman), manakala lakonan ialah Mohd Dzul Fadzli Abdul Majid, Ain Nadia Mairin, Muhd Asyraf Kamarudin, Norfadilla Hasnah Mohd Ridzuan Teo, Muhammad Afnan Mohd Sabri, Mohd Bakhtiar Mohd Nor Firdaus, Nurul Ainzatul Aisa Azmi, dan Siti Zaharah Mat Yisa.
Mereka memilih skrip tulisan Zaifri Husin mementaskan teater kanak-kanak selama dua jam itu menerusi produksi One Five Production.
Turut hadir menyaksikan persembahan ialah Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa serta Dekan FMSP, Prof. Madya Zaharul Lailiddin Saidon.
Prof. Madya Zaharul Lailiddin berkata persembahan penilaian tahun akhir berkenaan menjurus kepada keupayaan merancang, menyelaras dan menstrukturkan projek pilihan berpandukan proposal, urusan penyelidikan, pra produksi dan pasca produksi persembahan teater.
Ketua Jabatan Seni Persembahan, Dr. Muhammad Fazli Taib Saearani menganggap pementasan itu mencabar kegigihan dan komitmen pelajar menjayakan pementasan sebelum berada dalam dunia pekerjaan.
Beliau berkata pementasan bertujuan mendedahkan pengalaman dalam mengurus sesebuah produksi mengikut situasi yang sebenar selain menghasilkan satu produksi seni persembahan mengikut skema pembelajaran yang dipelajari.