oleh: Muhammad Shahrul Mizan bin Mohamed Nizam (Unit Hal Ehwal Pelajar & Alumni dan Penerbitan IPS UPSI)
MUALLIM 17 Julai 2022 – Pada 16 Julai lepas, Persatuan Pengajian Siswazah (PPS) dengan kerjasama Institut Pengajian Siswazah (IPS) telah menganjurkan persidangan antarabangsa yang dikenali International Postgraduate Conference (IPAC) 2022. Persidangan ini diadakan bersempena dengan sambutan 100 tahun UPSI dan dijalankan secara dalam talian.


Persidangan ini bertujuan membantu pelajar pascasiswazah sebagai sebuah wadah pembentangan
kajian, perkongsian ilmu pengetahuan, percambahan idea dalam usaha menghasilkan penyelidikan
yang berkualiti sesuai dengan tuntutan dan falsafah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Usaha
ini seterusnya bakal meningkatkan ketampakan UPSI di peringkat antarabangsa menerusi penglibatan
pelajar pascasiswazah dari universiti-universiti luar negara. Seramai 48 pembentang yang telah menyertai UPSI International Postgraduate Conference (IPAC) 2022.
Peserta-peserta terdiri daripada pelbagai fakulti di UPSI serta Institut Pengajian Tinggi yang
lain seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Matrikulasi Pahang, Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), Kolej Vokasional Taiping dan Universiti Sains Malaysia (USM). Sesi pengucap plenari yang disampaikan oleh Dr. Salman Alfarisi, pensyarah dari Fakulti Seni Muzik dan Persembahan (FMSP) UPSI dan Dr. Konara Mudiyanselage Dissanayake, pensyarah dari Jabatan Pengajaran Bahasa Inggeris, Universiti Wayamba Sri Lanka. Dr. Konara merupakan alumni Ijazah Kedoktoran (Ph.D) dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI.
Seramai 16 orang pembentang telah dinobatkan sebagai pembentang terbaik dalam UPSI International Postgraduate Conference (IPAC) 2022. Kesimpulannya, persidangan ini berjaya menyediakan platform kepada pelajar pascasiswazah untuk berkongsi dapatan kajian, ilmu pengetahuan dan percambahan idea
menerusi pembentangan abstrak dan kertas kerja.