oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
Tanjung Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini melancarkan aplikasi MyQRAsset, sebuah teknologi pintar pengurusan aset yang membabitkan proses verifikasi aset dan inventori pusat pengajian tersebut.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, aplikasi yang dibangunkan sendiri oleh Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi (PICT) dan Jabatan Bendahari UPSI menggunakan pangkalan data sumber terbuka postgreSQL.


“UPSI amat berbangga apabila memanfaatkan sebaik-baiknya kepakaran warga kerjanya membangunkan aplikasi yang membantu proses pelaksanaan verifikasi aset dan inventori dengan lebih pantas dan lancar, malah memberi perkhidmatan kewangan dan perakaunan terunggul dalam merealisasikan visi dan misi Universiti,” jelasnya ketika merasmikan aplikasi tersebut semasa sesi santun Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) bersama Jabatan Bendahari di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning UPSI.


Menurut Md Amin, data yang diperoleh di dalam aplikasi ini seragam dan tepat berhubung dengan data yang terdapat di pangkalan sistem MyFIS Neo, sebuah sistem maklumat kewangan bersepadu UPSI yang berintegrasi dan menyeluruh bermula daripada proses pengurusan bajet sehingga ke laporan kewangan.


“Aplikasi ini sangat fleksibel dan mudah digunakan menerusi peranti telefon pintar dan tablet, mampu berfungsi secara dalam talian mahupun secara luar talian namun masih dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan tinggi yang boleh diakses oleh pegawai verifikasi inventori dan aset yang dilantik sahaja,’ katanya.


Inovasi pintar ini, katanya, bukan sahaja memberi manfaat terhadap pengurusan kewangan yang lebih cekap, malah memberi penjimatan lebih RM50,000 kepada pengurusan jika tidak dibangunkan oleh pihak vendor luar,” jelasnya lanjut.


Menurut beliau, aplikasi ini sudah diuji dan diterima pakai penggunaannya oleh 238 pegawai verifikasi bersedia untuk diluaskan lagi fungsi kepada aspek penggunaan aset yang lain.

Turut disiarkan di: Kosmo!, Suara Merdeka

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)