oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail

foto: Nurul Hasniza Mohd Rashid

Tanjung Malim 9 September –  “Saya mahu berdikari dan tak mahu susahkan orang lain, syukur dan terima kasih kepada UPSI bila bermurah hati sumbang kerusi roda elektrik untuk membantu pengajian saya di sini,” kata pelajar berkeperluan khas Diploma Rekabentuk Pembangunan Permainan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Aminuddin Al-Hafiz Ismahisham, 20, selepas menerima bantuan kerusi roda elektrik di sini hari ini.

Menurut pelajar semester empat yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan itu mengalami keilatan kekal fizikal pada bahagian kaki sejak lahir dan perlu dibantu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

“Saya memang dah lama idamkan sebuah kerusi roda berupaya bergerak menggunakan kuasa elektrik kerana sepanjang zaman persekolahan sekolah rendah dahulu banyak dibantu rakan-rakan sekelas yang menolak kerusi roda,

“Namun bila meningkat ke alam remaja ke sekolah menengah, saya mula rasa rendah diri kerana ketika itu tak ramai yang mahu berkawan dengan saya yang berstatus OKU, apatah lagi membantu menolak saya ke mana-mana, sejak itu saya tekad untuk berdikari dan bercita-cita mahu memiliki sebuah kerusi roda elektrik,” tambahnya.

Anak tunggal yang dibesarkan oleh nenek yang hanya makan hasil pencen arwah datuk menjadikan Aminuddin hanya mampu memendam rasa memiliki kerusi roda elektrik tersebut.

“Sebaik mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke UPSI, saya amat gembira apabila pihak universiti banyak membantu menyediakan prasarana yang lengkap,

“Selain kemudahan kolej kediaman, saya turut dibantu kemudahan pengangkutan khas oleh para pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar setiap kali pergi dan balik ke kelas selain mempunyai rakan mahasiswa, Alan Tan Khee Sheng dan Nabil Danial Es’aedi yang banyak membantu menolak saya menggunakan kerusi roda,” tambahnya lagi selepas menerima sumbangan kerusi roda elektrik yang disampaikan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Aminuddin Al-Hafiz (tengah) menaiki kenderaan mobiliti yang disediakan UPSI sebagai pengangkutannya pergi ke kuliah setiap hari..

Inisiatif UPSI untuk kebajikan golongan berkeperluan khas mendapat pendidikan sempurna.

Menurut Md Amin, sumbangan tersebut merupakan inisiatif UPSI untuk membantu mahasiswa lebih-lebih lagi golongan berkeperluan khas, asnaf dan B40 mendapatkan pendidikan yang sempurna sepanjang pengajian mereka di kampus.

“Ini juga merupakan salah satu teras amalan budaya yang diterapkan UPSI  memastikan kebajikan warganya terpelihara dan saya percaya sumbangan ini sekaligus memberi harapan baru kepada Aminuddin untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-citanya seterusnya kembali berbakti kepada masyarakat setelah berjaya,

“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para dermawan dana tabung UPSI Prihatin selain penyumbang dana kepada Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI bagi membantu golongan sasaran di pusat pengajian ini,” jelasnya.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, UPSI Profesor Dr. Norkhalid Salimin berkata, akan teruskan agenda membantu kebajikan para mahasiswa melalui pengesanan Seksyen Kebajikan Pelajar jabatannya dan mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk tampil menghulurkan sumbangan.

“Inisiatif ini dilihat amat bertepatan dengan kesesuaian teknologi semasa namun terdapat kekangan harga kos yang tinggi jika dibandingkan dengan sumbangan kerusi roda manual yang jauh lebih murah,

“Sehubungan itu jika ada pihak yang mahu menginfakkan harta secara wakaf ataupun memberi sumbangan bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi 05-450 6000 atau layari laman sesawang https://epayment.upsi.edu.my/ ,” jelasnya.

Turut disiarkan di: Kosmo!, Suara Merdeka, Wilayahku, Astro Awani

Nota Pengarang: Terbaik BHEP, sesuai dengan slogan ‘Mesra Dan Prihatin’. Terima Kasih UPSI! Sentiasa ada susah dan senang

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Penerbitan & Grafik Korporat, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI. Bekas wartawan majalah Utusan Karya SB dan akhbar Utusan Melayu (M) Berhad. Jom menulis untuk e-Pena!

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)