Oleh : Mohd Fahmi Mohd Yunus (Pusat Kebudayaan UPSI)

Tanjong Malim – Muzik Melayu terhasil daripada pelbagai pengaruh yang datang ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Pengaruh terbesar adalah dari tanah Arab dan India amat jelas mempengaruhi karakter dalam muzik Melayu seperti zapin, masri dan ghazal.

Walau bagaimanapun , secara umumnya masih ramai yang hanya memahami  muzik Melayu secara dan karakter muzik tersebut tetapi tidak mengetahui sejarah  penciptaannya. Maka dengan itu, 24 Ogos lalu Pusat Kebudayaan UPSI menjemput Saudara Mohd Rozaidy Shukry atau lebih dikenali dengan nama pentas beliau Rojer untuk membicarakan topik berkenaan muzik Melayu dalam program Arts+Culture Clinic bertempat di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah.

Berdurasi sekitar 90 minit, beliau mengupas topik tersebut dengan memperkenalkan rentak zapin, inang, joget dan ghazal berserta contoh yang dimainkan secara langsung bersama Orkes Melayu Rojer. Beliau menjelaskan proses penciptaan rentak tersebut, sejarah pembentukan rentak  dalam muzik Melayu. Selain itu beliau turut mendemonstrasikan aplikasi lenggok nyanyian  yang berbeza mengikut rentak dalam memberi kefahaman yang lebih jelas kepada 136 penonton yang hadir pada malam tersebut. Para penonton juga diberi slot untuk sesi soal jawab berkenaan topik perbincangan supaya diskusi santai menjadi sesi dua hala yang lebih efektif.

Penulis sempat menemuramah ketua Unit Pengembangan Seni di Pusat Kebudayaan UPSI iaitu Encik Muhammad Fakhrullah Farrok, bertanyakan pandangan beliau terhadap penganjuran program ini.

“Saya amat bersyukur kehadiran penonton pada hari ini amat memberangsangkan dan di luar jangkaan saya.

Ternyata masih ramai anak muda masa kini yang inginkan pengisian program sebegini dan dari pemerhatian saya mereka amat teruja apabila mendengar demonstrasi secara langsung sebentar tadi. InshaAllah kami akan perbanyakkan program seperti ini di masa akan datang supaya kelestarian seni budaya kita terpelihara” ujar beliau usai program berlangsung.

Program diakhiri dengan sesi bergambar bersama Orkes Melayu Rojer dan para tetamu yang hadir.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)