oleh: Prof Madya Dr Abdul Halim Masnan (Penyelaras Penerbitan, Jaringan Industri dan Komuniti
Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC)

Dalam sejarah Malaysia, Sambutan Hari Kanak-Kanak disambut sejak tahun 1959 pada mana-mana hari Sabtu di bulan Oktober. Dalam usaha menyokong program-program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan terutamanya berkaitan kanak-kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris melalui NCDRC mengambil inisiatif menganjurkan Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan 2022 Peringkat UPSI bermula 17 Oktober 2021 hingga 22 November 2022. Program ini juga selari dengan Sambutan Hari Kanak-kanak peringkat Kebangsaan 2022 bertemakan “Masa Depan Yang Lebih Baik Untuk Anak-Anak”.

Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh YB Datuk Dr. Wan Norashikin Binti Wan Noordin Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat Dan NGO, turut hadir bersama Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Profesor
Madya Dr. Mazlina binti Che Mustafa, Pengarah, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara, YBrs. Puan Srihartini Mohamed Shamsudin, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita Dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) dan YBrs. Pn. Nor Tipah Majin, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Perak.

Aktiviti Kids Fashion Show dan Family Fun Walk juga diadakan pada sebelah pagi dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan iaitu disertai seramai 400 orang peserta yang terdiri daripada kanak-kanak, ibu bapa, guru-guru, pengiring dari seluruh Negeri Perak dan Malaysia. Pelajar UPSI juga tidak ketinggalan melibatkan diri sebagai peserta dan juga sukarelawan bagi meraikan Majlis Perasmian Pembukaan Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Perak.


Pelbagai aktiviti telah dirancang dan disusun untuk meraikan kanak-kanak serta menyokong kepada perkhidmatan berkualiti sepanjang masa. Minggu Pertama Tema STEM yang telah berlangsung dengan jayanya dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Minggu kedua akan berlangsung aktiviti Seni dan Kraf, Minggu Ketiga pula bertemakan Kesihatan di mana aktiviti Saringan Kesihatan Kanak-kanak akan turut diadakan.

Minggu Keempat yang akan mendapat sambutan hangat iaitu Permainan dan Minggu terakhir adalah Minggu Pekerjaan di mana NCDRC melibatkan agensi-agensi badan beruniform untuk memberi pendedahan berkaitan keselamatan, pencegahan kebakaran, kecemasan dan perubatan dan lain-lain lagi.

Program sebegini sangat bertepatan dengan fungsi dan peranan NCDRC dan FPM yang mana kedua-dua pusat tanggungjawab di UPSI ini diwujudkan bagi melonjakkan kecemerlangan pendidikan awal kanak-kanak melalui akademik, penyelidikan, penerbitan, perundingan, perkhidmatan dan sebagainya. Bukan itu sahaja, kedua-duanya juga sering menjadi rujukan bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

NCDRC, UPSI ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan kerjasama serta penaja-penaja yang telah menyokong usaha menjayakan Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan Peringkat Negeri Perak ini terutamanya Sekretariat Pembangunan Wanita Dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak, Yayasan Perak, Kementerian Kesihatan Malaysia yang diwakili oleh Hospital Slim River, New Star Food (NSF) dan Yakult Malaysia Sdn. Bhd. Diharapkan semoga kerjasama antara UPSI dengan semua pihak dapat diteruskan pada masa yang akan datang.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Penerbitan & Grafik Korporat, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI. Bekas wartawan majalah Utusan Karya SB dan akhbar Utusan Melayu (M) Berhad. Jom menulis untuk e-Pena!

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)