oleh: Prof Madya Dr Abdul Halim Masnan (Penyelaras Penerbitan, Jaringan Industri dan Komuniti, NCDRC)

Konsep Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) yang diamalkan sejak tahun 2012 sering mendapat kerjasama dan perundingan pelbagai agensi dalam dan luar negara.  Taska dan Tadika di NCDRC UPSI juga tidak terkecuali dengan  menjadi penanda aras bagi Permata Q (Genius) dan data kanak-kanak- negara berkaitan  taska dan pengiktirafan Tadika di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, tetapi juga rujukan tempat bagi agensi di luar negara.

Yayasan Forum Dunia (World Forum Foundation) antara badan Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) Sedunia yang berminat untuk mengadakan pertemuan dan lawatan ke NCDRC pada 3hb November 2022. Bagi persidangan edisi 2022 kali ini, Malaysia antara negara yang terlibat dalam kunjungan mereka  sebagai duta berkaitan PAKK. 


Delegasi Yayasan Forum Dunia melihat secara langsung pelaksanaan pembelajaran di dalam kelas

Yayasan Forum Dunia (World Forum Foundation) yang berpengkalan di Lincoln, Amerika Syarikat telah ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1998 di Australia. Antara peranan mereka adalah untuk  mencari  idea terkini untuk semua kanak-kanak di dunia dalam profesional PAKK dan menjalinkan hubungan yang berterusan antara negara dunia. Sepanjang perjalanan Persidangan Forum Dunia, peranan mereka semakin berkembang pesat disebabkan sokongan beratus-ratus pakar dan pendidik di seluruh dunia dalam bidang PAKK.

Pengurus Eksekutif, Mr Mark Elliott mewakili World Forum Foundation turut mengadakan lawatan kerja ke NCDRC. Beliau turut diiringi Mrs Anne dan delegasi NAECCEM Malaysia yang merupakan rakan kerjasama Forum Dunia di Malaysia. Antara tujuan lawatan mereka adalah untuk melihat pengoperasian Taska dan Tadika di NCDRC serta temuramah bersama pengurusan tertinggi NCDRC berkaitan operasi dan penglibatan kakitangan NCDRC di peringkat dalam dan luar negara.  

Sesi lawatan dimulakan dengan pembentangan Pengarah berkaitan pengoperasian Taska dan Tadika yang menjadi tempat dalam kalangan pelajar UPSI untuk mengikuti program praktikum, penyelidikan dan program komuniti.  Mereka juga turut berpeluang untuk melawat beberapa bilik pembelajaran termasuklah persekitaran luar NCDRC. Mereka juga berpeluang melihat secara langsung pelaksanaan pembelajaran di dalam kelas dengan elemen pendekatan projek. Mereka turut berpeluang bersuai kenal bersama guru dan kanak-kanak bagi mengetahui dengan lebih dekat pelaksanaan pembelajaran yang sangat menarik.  

Selepas lawatan, program diteruskan dengan Persidangan Forum Dunia PAKK dengan perbincangan pelbagai isu berkaitan kepentingan peranan lelaki dalam PAKK, menghubungkan kanak-kanak dengan alam semulajadi dan Hak Kanak-kanak. Persidangan Forum Dunia yang dikendalikan oleh Mr Mark dan Pn Anne telah melibatkan Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustapha, Dr Masayu Dzainudin dan  Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan.

Program tersebut telah dijalankan secara langsung menerusi aplikasi Zoom ke seluruh dunia. Temubual yang dijalankan selama sejam itu turut mendapat perbincangan dari pendidik serata dunia serta diserikan dengan persembahan lagu tradisional berasaskan perkusi oleh Dr Abdul Halim.

Dalam usaha menjadikan NCDRC UPSI sebagai penanda aras terbaik di Malaysia dan luar negara, kerjasama dengan Yayasan Forum Dunia diharapkan dapat membuka jaringan kerjasama dan rujukan di antara Malaysia dan negara lain dalam bidang PAKK.

 

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Penerbitan & Grafik Korporat, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI. Bekas wartawan majalah Utusan Karya SB dan akhbar Utusan Melayu (M) Berhad. Jom menulis untuk e-Pena!

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)