oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail

foto: Nurul Hasniza Mohd Rashid

Muallim,  12 November 2022 –

Penetapan pilihanraya umum (PRU) ke-15 yang akan dilangsungkan pada tarikh 19 November ini bakal menyaksikan pelaksanaan Undi 18 yang turut melibatkan para mahasiswa intitusi awam di seluruh negara.

Bagi menyokong hasrat negara untuk mempromosi para mahasiswa keluar mengundi, seramai kira-kira 25 ribu mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) digalakkan menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin melalui kenyataannya hari ini memberi saranan kepada para mahasiswa untuk memuatnaik aplikasi yang telah dibangunkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) iaitu MySPR semak dan laman sesawang MySPR bagi mendapatkan data pendaftaran.

“Bagi memastikan program ini berjaya, UPSI telah menyediakan slot khas kepada SPR sempena Program Orientasi Pelajar pada Oktober lepas,

“UPSI juga telah menerima peruntukan daripada Jabatan Pengajian Tinggi bagi melaksanakan program memperkasakan pendidikan pengundi mahasiswa (UNDI 18),

“Besarlah harapan kami, agar semua warga UPSI dapat menyokong dan melaksanakan amanah untuk turun mengundi pada 19 November 2022 nanti,” jelasnya ketika ucapan aluan Program Larian Integriti Sempena Sambutan Hari Integriti UPSI 2022 di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Mohd Zaidi Aziz merasmikan majlis dan melepaskan seramai 1150 peserta larian.

Menurut Mohd Zaidi, program larian sejauh 5.5 KM sekitar kampus yang dibuka penyertaan kepada masyarakat sekitar Muallim selain mahasiswa dan warga pusat pengajian itu merupakan acara tahunan Unit Integriti UPSI bertujuan membina, memupuk dan melahirkan warga UPSI serta penglibatan orang awam yang kuat fizikal dan jati diri serta menerapkan dan membudayakan nilai integriti dalam melaksanakan tugasan seharian.

UPSI BEST!

“Menerusi Program Larian ‘Integrity Fun Run’, UPSI berpeluang mempromosikan nilai-nilai integriti dalam masyarakat apatah lagi seluruh negara baru saja menyambut Hari Integriti Nasional pada 5 November setiap tahun sejak tahun 2005,” jelasnya.

Turut hadir semasa majlis perasmian ialah Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang, Salina Samsudin, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman, Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad, Ketua Unit Integriti UPSI, Ilmizan Ismail, Ketua Juruaudit Dalam UPSI Hanafi Junit serta warga UPSI dan orang awam.

Sementara itu menurut Ketua Unit Integriti UPSI, Ilmizan Ismail berkata larian yang mengangkat tema ‘Kekeluargaan Teras Pembangunan Potensi Insan’ itu turut menyaksikan pembukaan reruai Kempen Derma Darah dan Pameran Kesihatan Gigi oleh Hospital Slim River aktiviti senamrobik dan zumba serta penyampaian hadiah cabutan bertuah kepada para peserta.

Larian dapat sambutan menggalakkan mahasiswa dan warga Muallim.
Aktiviti Zumba dapat sambutan hangat!
Karate pun boleh!
Van hijau sentiasa dapat tumpuan
Kempen Derma Darah untuk Pusat Darah Negara

Turut diterbitkan di: Kosmo!

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Penerbitan & Grafik Korporat, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI. Bekas wartawan majalah Utusan Karya SB dan akhbar Utusan Melayu (M) Berhad. Jom menulis untuk e-Pena!

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)