oleh: Muhammad Safwan Ismail (Pusat Islam)

08 November 2022 : Pelaksanaan Solat sunat gerhana bulan seperti yang dimaklumkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak telah diadakan di Masjid Al-Mursyidin,  Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Solat sunat gerhana bulan ini dilaksanakan berikutan fenomana gerhana bulan yang berlaku mulai jam 6.57 petang hingga 8.49 malam.

Solat sunat gerhana bulan dilaksanakan selepas solat fardhu maghrib berjemaah dan diimamkan oleh Ustaz Muhammad Zin Azhari, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam manakala khutbah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Majdan Ismail, Pegawai Hal Ehwal Islam merangkap ketua Imam Masjid Al-Mursyidin.

Jemaah Masjid yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi serta kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris turut hadir bersama-sama mengambil peluang bagi melaksanakan solat sunat gerhana bulan yang jarang berlaku dalam tempoh masa yang panjang.

Intipati khutbah yang disampaikan adalah sebagai peringatan kepada kita semua untuk sentiasa mengakui kebesaran Allah SWT diatas segala ciptaan yang ada di muka bumi agar keimanan kita sentiasa kukuh.

Selain itu, kita disarankan untuk perbanyakkan istighfar dan bersedekah sepanjang berlakunya gerhana bulan ini serta yakin kebenaran yang telah dinyatakan dalam Al-Quran berkaitan sains dan teknologi pada masa kini.

Semoga kita semua mengambil ibrah daripada apa yang berlaku fenomena gerhana bulan agar kita mempercayai Allah SWT berkuasa menentukan segala-galanya mengikut kehendak-NYA serta sentiasa mempersiapkan diri menghadapi hari kiamat yang akan menghancurkan segala-galanya. – ePena

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Penerbitan & Grafik Korporat, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI. Bekas wartawan majalah Utusan Karya SB dan akhbar Utusan Melayu (M) Berhad. Jom menulis untuk e-Pena!

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)