oleh: Muhamad Hafiz Abd Manap (Kolej Ungku Omar)


Tanjung Malim: Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris bersama SMK Dato’ Haji Panglima Jakarullah, Semporna telah bekerjasama dalam Program Jelajah Ilmu Merentas Sempadan Siri I.
Penolong Pegawai Tadbir, Hafiz Abd Manap yang mewakili Pengetua Kolej, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan menyantuni delegasi yang tiba di UPSI pada 7 November 2022 bagi jalinan kerjasama dua hala tersebut dalam pelbagai aspek termasuklah akademik, kebudayaan, penanda aras, serta penginapan
Program Siri I yang dirangka oleh Exco Akademik dan Kerjaya, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar turut melibatkan penglibatan SMK Seri Jempol, Negeri Sembilan dan Kolej Vokasional Sepang, Selangor itu bermula pada 7 hingga 9 November 2022 dengan beberapa aktiviti dilaksanakan antaranya perkongsian ilmu bersama pelajar, lawatan penanda aras serta pertukaran budaya antara sempadan.


“Saya terharu dengan kehadiran delegasi dari SMKDHPJ, Semporna yang sudi bersama KUO sebagai rakan kolaborasi untuk program pada siri I ini, walaupun jauh dipisahkan lautan masih sanggup hadir dan sama-sama menjayakan program yang telah dirancang” katanya dalam teks yang dibacakan oleh pegawai tersebut.

Program yang dijalankan selama tiga hari itu mensasarkan pelajar-pelajar tingkatan 4 dan lima serta pelajar semester akhir (Kolej Vokasional) dimana lebih 200 pelajar termasuk delegasi dari UPSI, SMK Dato’ Haji Panglima Jakarullah, SMK Seri Jempol dan KV Sepang hadir pada sesi yang dijalankan di sekolah masing-masing.

Setiap sesi yang dijalankan disekolah yang terlibat mendapat sambutan dan sangat-sangat dialukan untuk dilaksanakan pada siri yang seterusnya dalam memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan akademik, perkongsian mahasiswa terhadap alam pendidikan di universiti dan tambah baik sistem pengurusan pentadbiran, penginapan dalam sesi penanda aras yang sempat dijalankan.

“Besar harapan kami sekiranya program ini dapat diteruskan di seluruh semenanjung dan jika diberi kesempatan dapat dilebarkan juga di Sabah dan Sarawak” katanya lagi.

YM Tengku Mohd Nazri Tengku Anang (Pengetua SMKDHPJ), yang turut mengiringi delegasi dari Semporna itu yakin program yang dilaksanakan mampu memberikan impak positif kepada pelajar dan mahasiswa yang terlibat.

“Manfaatkanlah segala ilmu dan perkongsian dalam setiap sesi yang dijalankan dari persiapan menganjurkan program sehinggalah hari kita melaksanakannya kerana didalamnya terdapat perkara yang belum tentu ada disampaikan oleh guru-guru atau pensyarah di dalam kelas mahupun kuliah” katanya.
Melalui program ini, katanya, pelajar dan mahasiswa berpeluang mencipta pelbagai pengalaman dan dapat memikirkan hala tuju seterusnya dalam memilih haluan pendidikan dan kerjaya yang diidamkan.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Penerbitan & Grafik Korporat, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI. Bekas wartawan majalah Utusan Karya SB dan akhbar Utusan Melayu (M) Berhad. Jom menulis untuk e-Pena!

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)