Ole: Nur Nasirah Ruhani (Persatuan Pendidikan Islam)
4 DISEMBER 2022 TANJUNG MALIM, PERAK
Persatuan Pendidikan Islam UPSI telah mengadakan program ‘Marketing Ethics For Beginners’ yang merupakan anjuran Exco Ekonomi dan Kebajikan PPI dengan gabungan kerjasama Al-Mursyidin Club (AMC) dan Rakan Siswa Yadim (RSY).
Program yang telah dilaksanakan ini bertujuan untuk memberi pendedahan yang lebih terperinci berkaitan etika pemasaran yang harus dipatuhi oleh setiap peniaga di samping meningkatkan pengetahuan mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris mengenai pemasaran yang berkesan bagi mereka yang baru menceburi bidang perniagaan.

Dalam menjayakan program yang berlangsung pada Disember tahun lalu secara atas talian ini telah diketuai oleh Muhamad Asyraf Bin Ahmad selaku pengarah program dibantu oleh Ahli Jawatankuasa yang terlibat seramai 13 orang yang bertungkus-lumus serta bekerjasama dalam usaha memantapkan kualiti serta pengetahuan mahasiswa dan mahasiswi UPSI berkaitan etika- etika pemasaran yang di sampaikan oleh Dr. Norsamsinar Samsudin.
Program ini telah mencapai penyertaan yang memberangsangkan dari seluruh warga UPSI dimana mendapat sambutan seramai 400 peserta di platform Facebook Live pada malam tersebut.
Menurut Dr. Norsamsinar Binti Samsudin, pemasaran melibatkan aktiviti perniagaan di samping mengambil keuntungan dengan cara yang halal dan bukannya secara batil. Beliau turut menyatakan bahawa perniagaan yang dijalankan hendaklah berlandaskan syariat Islam agar matlamat yang sebenar dalam perniagaan tersebut dapat dicapai sepenuhnya.
Berdasarkan kemampuan dan kemahiran dalam memasarkan produk, ia perlulah selari dengan permintaan pasaran dimana menawarkan barangan atau perkhidmatan yang menjadi suatu keperluan masyarakat pada ketika itu agar pemasaran yang dilaksanakan menjadi lebih berkesan dan efisien. Beliau turut menyertakan tokoh korporat dalam bidang perniagaan iaitu junjungan mulia Rasulullah SAW sebagai suri teladan yang memiliki akhlak mulia dalam melaksanakan pemasaran serta kejujuran dan kebijaksanaan baginda dalam dunia perniagaan.
Turut serta dalam program ini beberapa strategi dan teori yang boleh digunapakai dalam memasarkan perniagaan, antaranya teori 4Ws dan 1H (What, Where, Who, When dan How) serta teori 7Ps (Product, Price, Place, Promotion, People, Process & Physical) sebagai satu kunci dalam menganalisis model perniagaan yang bakal dijalankan untuk asas pelan sesuatu pernigaan.
Dengan jalinan kerjasama yang dilakukan adalah merupakan salah satu inisiatif untuk menggalakkan lagi penyertaan para mahasiswa UPSI bagi membina keyakinan dan semangat mereka untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan serta mampu menghadapi segala risiko yang harus ditanggung sekiranya terdapat masalah dalam perniagaan mereka.
Konsep perniagaan berlandaskan syariat ini sememangnya membuka mata ramai pihak bahawasa Islam amat menggalakkan manusia untuk terlibat dalam bidang perniagaan. Maklum balas positif dari seluruh peserta ini jelas menunjukkan bahawasanya program ini mencapai objektif yang telah digariskan dan sekaligus memberi pelbagai maklumat dan tips bermanfaat dalam pemasaran agar produk yang bakal diniagakan mendapat sambutan.
Penyertaan dan kerjasama antara persatuan-persatuan UPSI amatlah memberi impak yang besar ke atas program ini. Segala bakti dan kesudian semua pihak yang terlibat seharusnya diberi penghargaan yang tinggi dan seterusnya dapat melaksanakan program sedemikian pada masa akan datang.