12 Mac 2023, Tanjung Malim – Seramai 318 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda yang terdiri daripada 228 pelajar perempuan dan 90 pelajar lelaki ditempatkan di Kolej Ungku Omar bagi ambilan Mac 2023.

Sesi pendaftaran yang bermula pada jam 9.00 pagi itu dijayakan dengan kerjasama antara Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar dan Rakan Millenia yang terlibat dalam proses pendaftaran yang terdiri daripada lima kaunter termasuk kaunter pendaftaran, kaunter penginapan, kaunter cenderahati, kaunter bendahari dan kaunter kesihatan di samping menjadi tunjuk arah kepada pelajar bagi memastikan proses pendaftaran berjalan dengan sistematik dan teratur.


Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Dr. Norkhalid Salimin turut hadir menyantuni pelajar dan ibu bapa semasa proses pendaftaran di Dewan Kolej Ungku Omar.

Beliau kelihatan teruja dengan semangat pelajar yang dimiliki oleh pelajar, apatahlagi mereka yang dulunya merupakan pelajar diploma kini meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di UPSI.


“Saya bangga dengan kecekapan pihak kolej dalam melakukan proses pembersihan dan pembaikan lebih awal sebelum pelajar ambilan baharu mendaftar. Tempat tinggal yang kondusif inilah yang menjadi salah satu faktor pelajar selesa untuk belajar” tambah beliau lagi.


Pelajar-pelajar daripada Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan dan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan yang terlibat dalam kemasukan ini ditempatkan di enam buah blok yang terdiri daripada empat buah blok perempuan dan dua buah blok lelaki.


Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar menerusi Exco Ekonomi dan Keusahawanan mengambil inisiatif mengadakan jualan barang-barang keperluan rumah di perkarangan pejabat Kolej Ungku Omar dengan harga yang berpatutan.


“Pelajar yang hebat adalah pelajar yang mahu keluar daripada zon selesa mereka dan mula melakukan sesuatu yang baharu daripada aktiviti harian mereka. Saya gembira melihat Majlis Mahasiswa Kolej yang tidak jemu membantu UPSI dalam apa sahaja aktiviti yang dijalankan.

Inilah pelajar yang wajar dicontohi oleh seluruh warga UPSI” kata Prof. Madya Dr. Nizam
Nasrifan yang juga Pengetua Kolej Ungku Omar.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)