Oleh: Siti Nor Amalina Ahmad Tajuddin (CAPEU)

TANJONG MALIM, 16 Mac 2023 – Prof Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff telah dilantik semula sebagai Presiden CAPEU (Consortium of Asia Pacific Education Universities) berkuat kuasa pada hari ini untuk tempoh 2 tahun setelah memperoleh persetujuan sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kelima yang berlangsung di UPSI. Dr Evi Eliyanah selaku Pengarah Hubungan Antarabangsa daripada Universitas Negeri Malang turut dilantik sebagai Timbalan Presiden CAPEU.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Profesor Dr. Marzita Puteh – Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Profesor Dr. Suriani Abu Bakar – Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi). Turut berlangsung pada hari ini ialah Mesyuarat Lembaga Pengarah CAPEU membincangkan kerjasama antarabangsa berkaitan mobiliti secara timbal balik (reciprocal), jurnal CAPEU, persidangan antarabangsa CAPEU, dan latihan mengajar.

Pembentangan usul mencadangkan kerjasama di antara ahli CAPEU untuk mewujudkan geran penyelidikan antarabangsa dan cadangan lantikan Profesor Adjung CAPEU. Perbincangan, sinergi dan keputusan yang telah dimuktamadkan semasa mesyuarat Lembaga Pengarah dan AGM ini dilihat mampu membantu ke arah perancangan dan hala tuju yang lebih strategik untuk memantapkan CAPEU sekaligus menambahkan lagi penyertaan ahli dalam konsortium ini.

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ini dihadiri oleh 15 orang delegasi daripada Indonesia, Brunei dan Filipina yang melibatkan Universitas Negeri Semarang (UNNES), Universitas Negeri Malang (UM), Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Universitas Pendidikan Ganesha (UNDIKSHA), Universitas Malikussaleh (UNIMAL), Universitas Negeri Surabaya (UNESA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU), Philippine Normal University (PNU) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)