Oleh: Afifah Adriana Aznan (PEGAWAI UMEDIA UCTC)

21 Mac, Tanjung Malim – Bersempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2023, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semarak semangat cintakan alam semula jadi dengan merealisasikan Program Penghijauan Malaysia, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di dalam kampus melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan Kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Encik Azmi Mohd Zin menunjukkan cara penanaman pokok yang betul kepada mahasiswa

Penanaman sebanyak 20 batang pokok Penaga Lilin telah dilaksanakan oleh mahasiswa UPSI dari Persatuan Rakan UCTC di sekitar kawasan Padang Istiadat, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI dengan pemantauan dan bimbingan daripada kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Mahasiswa UPSI diberikan pendedahan awal mengenai proses penanaman dan cara penjagaan oleh Pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Encik Azmi Mohd Zin sebelum menyempurnakan acara menanam.

Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff berkata, pelaksanaan kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak terutama dalam kalangan mahasiswa mengenai pentingnya kawasan litupan hijau untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara kita.

“Aktiviti yang dilakukan ini adalah bertepatan dengan Hari Hutan Antarabangsa dengan bertemakan “Hutan dan Kesihatan” yang disambut di seluruh dunia pada 21 Mac setiap tahun bagi meraikan dan menyokong komitmen untuk mengekalkan litupan kawasan berhutan di Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr. Norkhalid Salimin berharap kempen yang dijayakan ini dapat memupuk semangat cintakan alam semula jadi dalam kalangan mahaiswa UPSI selain dalam usaha menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan perhutanan, pemeliharaan dan pemuliharaannya untuk kesejahteraan dan kestabilan alam sekitar.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)