Oleh: Sabarina Shafie dan Rawdah Adawiyah Tarmizi

Bulan Ramadan merupakan lubuk keberkatan di mana dua syiar Islam yang agung berlaku serentak iaitu fardhu puasa dan penurunan Al-Quran. Umat Islam berlumba-lumba mengambil kesempatan sebaiknya menggandakan segala bentuk amal kebaikan pada bulan Ramadan. Justeru, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU) telah menganjurkan program Festival Ramadan pada 30 Mac 2023 sehingga 12 April 2023 yang merangkumi pelbagai aktiviti bermanfaat bagi mengimarahkan sambutan Ramadan dalam kalangan warga UPSI, khususnya FSM serta masyarakat sekitar.

Jawatankuasa pelajar diketuai oleh Wan Mohamed Syazwan Wan Mohamed Hanif selaku Pengarah Program Festival Ramadan. Terdapat beberapa sub program yang telah dijalankan dengan jayanya sepanjang Festival Ramadan berlangsung iaitu Program Santuni Anak Asnaf dan Anak- anak Yatim, Pertandingan Laungan Azan, Pertandingan Little Qari, Program Tadarus Al-Quran, Majlis Khatam Al-Quran dan Program Forum Ramadan.

Penyerahan sumbangan dan aktiviti Sains dan Matematik di Asrama Baitul Rahmaniah

Melalui Program Santuni Anak Asnaf dan Anak-anak Yatim, kutipan sumbangan daripada warga FSM berjumlah RM2936.00 berjaya dikumpulkan dan telah disalurkan kepada dua buah rumah anak asnaf dan anak-anak yatim iaitu Asrama Baitul Rahmaniah (BAIRAH), Rasa, Selangor dan Rumah Anak Kesayanganku, Rawang, Selangor. Di samping itu, beberapa aktiviti bertemakan Sains dan Matematik juga telah dilaksanakan melibatkan penyertaan seramai 60 orang anak asnaf dan anak-anak yatim dan dikendalikan oleh 30 orang fasilitator daripada PMMU.

Aktiviti Sains dan Matematik oleh fasilitator PMMU bersama anak asnaf anak-anak yatim

Penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Little Qari bagi kategori 5-6 tahun dan 10-12 tahun

Seterusnya, Festival Ramadan telah berjaya mengumpulkan sebanyak 80 penyertaan merangkumi pelajar UPSI bagi Program Tadarus dan Majlis Khatam Al-Quran serta Pertandingan Laungan Azan. Bagi Pertandingan Little Qari sebanyak 43 penyertaan yang telah diterima daripada tadika dan sekolah rendah di sekitar kawasan Tanjung Malim, Perak dan Hulu Bernam, Selangor.

Ucapan perasmian Penutupan Program Festival Ramadan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee
Peserta bersama penceramah Forum Ramadan, Muhammad Hafiz

Program Festival Ramadan diakhiri dengan Forum Ramadan yang dirasmikan oleh Dekan FSM, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah dan peserta forum terdiri daripada warga UPSI dan masyarakat sekitar. Penceramah jemputan ialah Muhammad Hafiz Mohamed Din yang merupakan guru Matematik dan alumni UPSI. Forum Ramadan yang bertajuk Bulan Ramadan Bulan Pendidik Jiwa bertepatan dengan bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini. Kupasan yang disampaikan oleh penceramah berjaya menarik perhatian hadirin dan dapat memberikan kesedaran untuk melipat gandakan lagi amalan sepanjang bulan Ramadan. – ePena

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)